Latar belakang kelahiran
Nama sebenar beliau ialah Ma'sum bin Muzayyin dan berasal dari Lasem Jawa
Tengah, Indonesia. Lasem dikenali sebagai Tiongkok kecil kerana merupakan kota
awal pendaratan orang Tionghoa di tanah Jawa. Beliau dilahirkan pada awal tahun
1990an, namun tanggal kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat.
Penukaran nama kepada Muhammad Khalil adalah kerana mengambil tabarruk guru
yang dikasihinya yang bernama Kiai Khalil Bengkalan yang berasal dari Pulau
Madura Jawa Timur. Maka masyhurlah nama beliau di Malaya pada ketika itu dengan
nama Kiai Khalil Bin Abu Ammar. Sementara ayahnya iaitu Kiyai Muzayyin, menukar
nama kepada Kiai Abu Ammar selepas menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah. Ini
kerana telah menjadi adat masyarakat Jawa akan menukar nama yang baru setelah
menunaikan haji. Ia juga berkemungkinan tabarruk nama panggilan baru dengan
tanah suci Mekah yang penuh barakah. Pendidikan awal Beliau mula belajar di
Pesantren Rembang dan kemudian berpindah ke Pesantren Pati, dan akhir sekali di
Tebu Ireng Jombang Jawa Timur. Dikatakan pada awal pengajiannya, beliau selalu
cuai dalam belajar. Sikap beliau tersebut sampai kepada pengetahuan bapanya,
lalu beliau dipanggil pulang dan diserahkan tugas memelihara kambing ternakan.
Setelah melalui tugasan tersebut, maka beliau menyedari bahawa peritnya sebagai
penggembala kambing. Ekoran itu, beliau memohon kepada ayahnya untuk kembali
meneruskan pembelajaran di pondok. Di Pondok Tebu Ireng , beliau telah berguru
dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Kiai Hasyim Asy'ari adalah seorang ulama terkenal
di Indonesia dan merupakan salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama (NU). Di
samping itu, Kiai Khalil turut berguru dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura,
iaitu ulama yang diambil tabarruk namanya.Kiai Khalil Bengkalan/Madura
merupakan guru kepada Kiai Hasyim Asy'ari sewaktu beliau belajar di daerah
Madura. Namun terjadi satu peristiwa pelik di mana Kiai Khalil Bengkalan datang
untuk berguru dengan bekas anak muridnya di Tebu Ireng. Puas ditolak namun Kiai
Khalil Bengkalan tetap dengan pendiriannya untuk berguru dengan Kiai Hasyim
Asy'ari. Akhirnya permintaannya itu dipersetujui beliau. Kiai Khalil Bengkalan/
Madura adalah seorang yang mahir dalam pelbagai ilmu, terutama dalam ilmu Nahu,
Sorof, Balaghah, Fiqh dan lain-lain. Hasil perguruan ulama yang dibicarakan ini
dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura tersebut, beliau mempunyai kemahiran yang
agak luar biasa dalam ilmu nahu bahasa Arab. Antara kitab yang menjadi
kebiasaan dalam kelasnya ialah kitab Alfiah. Hal ini turut diperakui sendiri
oleh Sheikh Mahmud al-Bukhari, yang menyatakan bahawa kemahirannya mendatangkan
syahid dalam masalah nahu Arab, sehingga digelar sebagai Khalil Imran. Menurut
Ustaz Ahmad Mukhit, iaitu Mu'allim Indra Wangsa, menyatakan bahawa Kiai Khalil
belajar hanya tiga tahun sahaja. Namun dalam masa tersebut beliau dikurung oleh
gurunya dan menghabiskan seluruh masanya untuk mempelajari pelbagai ilmu.
Dikatakan beliau tidak tidur sepanjang malam untuk mentelaah kitab-kitab
sehingga menjelang Subuh. Bahkan, beliau juga dikatakan mendapat ilmu secara
ladunni. Karya penulisan Kiai Khalil bin Abu Ammar juga menghasilkan
karya-karya penulisan yang banyak. Boleh dikatakan hampir kesemua karya
penulisan beliau adalah berasal daripada tulisan tangan beliau sendiri.
Berdasarkan penemuan karya penulisan tersebut, dilihat beliau banyak
menghasilkan karya-karya dalam bidang-bidang tertentu iaitu ilmu nahu bahasa
Arab, ilmu Falak, ilmu Qawa'id Fiqh dan sebagainya. Kewafatan Ketika berusia
lebih 70 tahun, beliau kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 1978
selepas menunaikan haji bersama isteri, Nyai Salbiah dan anak perempuan mereka,
Hajah Sofiyyah di Mekah. Jasadnya telah disembahyangkan di hadapan Kaabah dan
dikebumikan di perkuburan Ma'la.
Sumber:Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, 15 Disember 2008
http://zulfanioey.blogspot.com/2012/02/kiai-khalil-abu-ammar-tidak-tidur.html
Sumber:Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, 15 Disember 2008
Tidak ada komentar:
Posting Komentar