Jika
matahari tidak terbit,
Cukuplah
wajah Laila menggantikan sinarnya,
Jika
rembulan tidak timbul,
Kelembutan
Laila sudah cukup menyejukkan bumi.
(Syair
Majnun buat Laila)
KISAH cinta
Qays (putera hartawan yang budiman) -Laila (puteri bangsawan yang cantik
jelita) atau lebih dikenali sebagai Laila Majnun merupakan kisah Arab Klasik
Terbaik. Menurut kajian ahli sastra
Arab, kisah ini bukanlah cerita dongengan semata-mata. Watak utama cerita ini yaitu
Qays bin Al Mulawwah memang benar-benar wujud pada zaman pemerintahan kerajaan
Bani Umayyah. Beliau dikatakan meninggal dunia pada tahun 65 atau 68 hijrah.
Kisah Laila
dan Majnun dikupas oleh Nurfaridah Rubani dengan sangat teliti dalam novel ini.
Buku ini juga sangat menjaga struktur teks agar tidak menjejaskan keaslian
ceritanya. Bait syair yang terkandung
dalam buku ini juga merupakan terjemahan asli daripada naskah asal daripada Arab. Kisah cinta agung ini
dimulakan dengan Syed Omri yaitu kabilah
Bani Amir di lembah Hijjaz. Beliau sangat disegani kepimpinannya. Kekayaannya
melimpah ruah dan sangat besar pengaruhnya hingga ke negeri lain. Menyedari
dirinya yang semakin uzur, Syed Omri sentiasa berdoa kepada Tuhan agar lekas
dikurniakan cahaya mata. Beliau melakukan berbagai ikhtihar seperti doa,
bermunajat, nazar dan menyedekahkan hartanya kepada fakir miskin. Allah telah
perkenankan hajat Syed Omri dengan mengurniakan seorang cahaya mata. Namun
tidak pula Syed Omri lupa diri malah semakin banyak pula doa dan sedekah yang
diberikan. Bayi itu diberi nama Qays dan dilimpahkan kesenangan sepanjang masa.
Qays telah
berguru dengan guru terbaik di seluruh kepulauan Arab. Di sekolah, Qays
merupakan seorang yang cerdas dan senang bergaul dengan semua orang. Beliau
gemar membantu rakan yang kesusahan. Tambahan pula, Qays memiliki wajah yang
tampan. Di sekolah itulah pertama kalinya Qays terlihat seorang gadis yang
sangat istimewa pada pandangan matanya iaitu Laila. Qays juga tidak sekadar bertepuk sebelah
tangan. Gadis itu sememangnya sudah lama tertarik dengan Qays sejak kali pertama berjumpanya. Qays sering
membacakan bait-bait syairnya buat Laila. Kisah percintaan mereka akhirnya
sampai pada keluarga Laila. Perkara itu dikatakan amat memalukan dalam kelompok
Bani Qtahibiah . Bapa Laila sangat marah dan merasa sangat malu akan hal itu. Lalu,
Laila dikurung di dalam rumah dan dikawal dengan sangat rapi.
Mulai detik
itu, hidup Qays menjadi tidak terurus. Dadanya bagai dipenuhi dengan duka yang
terus berdarah. Qays meninggalkan rumah, berjalan tidak tentu arah dan meredah
hutan belantara bersama kesedihannya. Dia mengembara sambil bibirnya hanya
menyebut satu nama iaitu Laila. Dia
kehilangan semangat sejak dipisahkan dengan Laila. Dia kerap berjalan dengan
tidak berbaju dan melintasi setiap perkampungan sambil melontarkan bait-bait
syair untuk Laila. Masyarakat memanggilnya dengan gelaran Majnun bermaksud
gila. Qays benar-benar gila tanpa Laila. Nama itu terus melekat sehingga ada
yang sudah lupa dengan nama sebenarnya.
Syed Omri
sangat sedih melihat keadaan anaknya. Puteranya yang dahulunya cerdas dan boleh
menyejukkan hatinya kini sudah berubah serta merta. Mendengar nasihat
isterinya, Syed Omri pergi meminang
Laila untuk puteranya. Namun lamarannya ditolak dengan alasan, bapa Laila tidak
sudi menyerahkan Laila kepada orang yang gila. Syed Omri berasa sangat terhina
dan memujuk Qays agar segera melupakan Laila. Syed Omri meyediakan perlbagai
makanan dan menyuruh Qays memilih mana-mana gadis cantik daripada kabilahnya
untuk disunting. Namun, dia tetap memilih Laila. Qays kembali mengembara.
Tinggal di dalam gua dan meredah hutan belantara sambil membacakan syair-syair
buat Laila. Alam seolah-olah kasihan melihatnya. Binatang buas pun tidak sampai
hati untuk meyakitinya. Pengembara yang
terjumpa Qays semasa bermusafir juga sangat kagum dengan jejaka itu. Bahkan ada
yang mengatakan syair-syair Majnun adalah syair yang paling indah di jazirah
Arab.
Suatu hari,
seorang pemuda bernama Ibnu Salam daripada kabilah Asad telah terpandang wajah
Laila semasa di taman. Lalu Ibnu Salam meminta kedua orang tuanya untuk
meminang Laila dengan segera. Tidak dapat dinafikan bahawa Ibnu Salam adalah
jejaka terbaik dalam kalangan Kabilah Asad. Ayah Laila dengan senang hati
menerima lamaran keluarga Ibnu Salam itu. Ketika Majnun mendengar khabar
pernikahan Laila dengan Ibnu Salam, Majnun sukar untuk mempercayainya. Hatinya
berkecai. Apakah Laila telah melupakan Majnun? Majnun terus berteriak memanggil
nama Laila dan meratap nasib cintanya. Pada masa yang sama, Laila telah
berterus terang dengan Ibnu Salam tentang perasaannya yang sebenar. Mujurlah
Ibnu Salam memahami dan tidak akan menyentuh Laila sehingga Laila sendiri yang
akan menyerahkan cinta buatnya. Sesungguhnya perasaan Laila hanya pada Majnun.
Seorang pemuda bernama Ishaq telah mencari Majnun untuk menyampaikan surat
Laila buat Majnun. Laila tidak pernah melupakan Majnun.
Berita kematian
Ibnu Salam sememangnya merupakan suatu perkara yang mengembirakan Laila. Laila terpaksa berkabung dan berkurung selama
dua tahun kerana mengikut budaya masyarakat kabilahnya. Di rumah Laila duduk
sendirian memikirkan kehidupan. Laila berharap pertemuannya dengan Qays nanti
akan mengubati kesedihannya. Namun, Qays
dikatakan telah membawa segala harapan dan angan-angan. Pudar sudah semua
harapan. Tubuh Laila menjadi kurus kerana tidak mampu menanggung kesedihan.
Laila tidak mahu dendam Bani Qhatibiah akan mencelakakan Qays. Tidak ada
seorang pun yang mampu melawan kuasa takdir. Laila akhirnya meninggal
dunia. Zayd orang kepercayaan Laila
telah berlari tanpa henti mencari Majnun. Mendengar khabar daripada Zayd,
Majnun mendapat pukulan yang sangat hebat.
Majnun
tersungkur dan menangis di atas pusara Laila. Banyak orang berusaha memujuknya,
namun Majnun masih memeluk nisan Laila. Majnun berdoa kepada Tuhan agar
disatukan Laila dengannya di Syurga.
Akhirnya, kematian menjemput Majnun di sisi pusara Laila. Kisah Laila
Majnun kian tersebar di seluruh tanah Arab. Cinta Majnun dan Laila adalah cinta
yang dimurnikan dengan penderitaan dunia, kelak mendapat limpahan cahaya.
Inilah kuasa cinta!
Berikut
kutipan sajak yang dibacakan oleh Majnun dalam kegilaannya:
“Oh, lilin
jiwaku. Jangan kau siksa diriku ketika aku mengelilingimu. Kau telah memikatku,
merampas tidurku, akalku juga tubuhku.”
Laila adalah
cahaya malam, Majnun adalah sebatang lilin. Laila adalah keindahan, Majnun
adalah kerinduan. Laila menabur benih cinta, Majnun menyiraminya dengan air
mata. Laila memegang cawan cinta, Majnun berdiri mabuk oleh aromanya.
“Aku
bagaikan orang yang kehausan. Kau pimpin aku menuju sungai Eufrat, lalu sebelum
sempat aku minum, kau menarikku dan kembali ke kawasan panas membara. Padang
pasir yang tandus. Kau mengajakku ke meja jamuan, tapi tidak pernah
mempersilakanku makan! Mengapa kau menampakkannya kepadaku di awal, jika tidak
pernah berniat untuk membiarkan aku memiliki hartaku.?”
Oleh : Wafa
Awla
Tidak ada komentar:
Posting Komentar