Digelar Imam Nawawi kedua
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama
dalam lingkungan ulama-ulama Syafi’iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana
banyak karangannya yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang.
Pada penghujung abad ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten,
Jawa Barat. Setelah dia menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab
bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia
digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama
memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan
syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang
berasal dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam
Nawawi yang pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum
ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh
Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian
memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya
yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode
tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.
Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim
dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah,
gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang
mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh
Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani,
yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah
sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan
Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang
diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai’ah seseorang
muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang
berminat dalam bidang keshufian.
Lahir dan pendidikan
Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu
Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten,
Jawa Barat, lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di
Mekah tahun 1314 Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada
ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman
itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad
an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali,
Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh
Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul
Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus
Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad
bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib
bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat
daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat
dicatat di sini.
Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan
selanjutnya setelah menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan
pelajarannya ke Syam (Syiria) dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana
menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke
Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar
dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad
lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram
sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang.
Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir
untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik
di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu
dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar),
iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh
kerana tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang
terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi
al-Bantani.
Murid-murid
Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di
Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan
terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu
kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman
itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai
muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung
Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau
menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani,
dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani.
Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat
murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya.
Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat
tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234
Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang
menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji
Hasyim Asy’ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau
ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama.
Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi
di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin,
Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh
Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi
al-Madani dan ramai lagi.
Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya
daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani
(1285 Hijrah/1868 Masehi – 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama
Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi
al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan
pembimbingnya. Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau
adalah `sibthun’ (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di
atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung
barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di
antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji
Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir,
Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi
al-Bantani yang dikaderkan di Mekah.
Karya-karya
Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani
yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang
belum masuk dalam senarai yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya
telah memiliki karya ulama Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya
masukkan dalam buku berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44
judul. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan
merupakan syarahan daripada karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun
karyanya yang diciptakan sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa
Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di
bawah ini saya catat sekadarnya saja, ialah:
1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284
Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311
Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286
Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra,
Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289
Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba’ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir
1308 Hijrah.
4. Madarijus Su’ud ila Iktisa’il Burud, mulai menulis 18
Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah Mustafa al-Baby
al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya’ ila Thariqil Auliya’, mulai menulis 22
Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876
Masehi. Diterbitkan oleh Mathba’ah Ahmad bin Sa’ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa
menyebut tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan
1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah,
Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai
17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba’ah al-Jadidah al-’Amirah,
Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297
Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi,
Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai
Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah
al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu
Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893
Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah, tanpa
tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba’ah al-Miriyah
al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil
Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa
tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su’udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa
tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, tanpa tarikh.
Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak
juga oleh Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa
tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-’Arabiyah, Mesir, tanpa
tarikh.
17. Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak
oleh Mathba’ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- ‘Allamah al-Khatib,
tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh.
Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma’arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi
Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir,
awal Syaaban 1299 Hijrah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar