DALAM halaman Agama Utusan Malaysia , nama Tok Ku Paloh ada
disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal
Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh
Tok Ku Paloh.
Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini,
termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut.
Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan
berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.
Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh
Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail
al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi
perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818
M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh
Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk
kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani,
Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin
sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan
ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan
bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh
Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang
menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks
hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin
III, Terengganu.
Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal
dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal
dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah
atau 100 tahun menurut tahun masihi.
Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid
Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh.
Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam
Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu
sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah
Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana,
Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid
Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri
semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang
disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung
Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut,
ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang
paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
Pendidikan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan
‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan
usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah
beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan
seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di
Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar
pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.
Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada
zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari
Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga
berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh
Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).
Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok
Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir
bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama
belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.
Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari
Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani
berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan
meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah
memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani
(Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga
‘al-Aidrus’.
Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal
yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin
Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga
‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama
Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada
perhubungan nasab.
Perjuangan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya
di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa
al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi
al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil,
Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah
ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah
al-Makki.
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah
memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu
Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari
sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama
Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah
Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang
terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan
Tok Janggut.
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko
tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau
melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah
Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada
hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British
yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir
menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan
mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru
kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta
diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam
pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu
melancarkan perang jihad.
“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh,
serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
(Ulama Terengganu, hlm. 184)
Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar
berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang
Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan,
Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh
bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun
banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi
perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat
terhadap agama Islam dan bangsanya.
Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara
ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok
Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak
persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan
Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup,
Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.
Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September
1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November
1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri
kerajaan Terengganu.
Penulisan
Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah
‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun
1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam
Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa
selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia
merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan
mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain
bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”
Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada
dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan
izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah
1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”
Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi
Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima
daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu,
Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan
Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau
menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub
dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan
orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini
sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan
Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.
Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab
itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.
Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang
pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.
Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur
Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan
menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan
Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.
Salasilah Tok Ku Paloh
SALASILAH AL IDRUSI
1 Sayyiduna Muhammad saw
2 Fatimah al-Zahra’
3 Imam Husain
4Imam Ali Zainal Abidin
4 Imam Ahmad al-Baqir
5 Imam Ja’afar al-Sadiq
6 Ali Arawdi
7 Muhammad al-Naqib
8 Isa
9 Ahmad al-Muhajir
10 Syeikh Abdullah
11 Syeikh al-’Alawi
12 Muhammad
13 Ali
14 Ali Khala’ Qasam
15 Muhammad Sahibul Mirbad
16 Muhammad Faqih Muqaddam
17 Alwi
18 Ali
19 Syed Muhammad Maula Dawilah
20 Qutubuzzaman Muhammad Abdul Rahman al-Saqaf
21 Qutubul Irfan Abu Bakr al-Sakran
22 Qutubus Syumus Abdullah al-Idrus
23 Qutubul Irsyad Abdullah al-Haddad
24 Ali Zainal Abidin
25 Syeikh Mustafa
26Zainal Abidin
27 Syed Muhammad
28 Syed Muhammad Zainal Abidin
29 Qutubuzzaman Syed Abdul Rahman al-Idrus (Tukku)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar