Tokoh ulama yang khumul lagi wara`, pemuka dan sesepuh
habaib yang dihormati, Habib Anis bin Alwi bin Ali bin Muhammad bin Husain
al-Habsyi rahimahumullah telah kembali menemui Allah s.w.t. kelmarin 14 Syawwal
1427 H bersamaan 6 November 2006 dalam usia kira-kira 78 tahun. Habib Anis
sewaktu hayatnya sentiasa mengabdikan dirinya untuk berdakwah menyebarkan ilmu
dan menyeru umat kepada mencintai Junjungan Nabi s.a.w. Beliau menjalankan
dakwahnya berdasarkan kepada ilmu dan amal taqwa, dengan menganjurkan dan
mengadakan majlis-majlis ta’lim dan juga majlis-majlis mawlid, dalam rangka
menumbuhkan mahabbah umat kepada Junjungan Nabi s.a.w. Selain berdakwah
keliling kota, sehingga muridnya menjangkau puluhan ribu orang di merata-rata
tempat. beliau memusatkan kegiatan dakwah dan ta’limnya di masjid yang
didirikan oleh ayahanda beliau, al-Habib Alwi bin ‘Ali al-Habsyi, yang dikenali
sebagai Masjid ar-Riyadh, Gurawan, Pasar Kliwon, Solo (Surakarta), Jawa Tengah.
Dalam majlis-majlis ilmu yang lebih dikenali sebagai rohah,
dibacakan kitab-kitab ulama salafus sholeh terdahulu termasuklah kitab-kitab
hadits seperti “Jami`ush Shohih” karya Imam al-Bukhari, bahkan pengajian kitab
Imam al-Bukhari dijadikan sebagai wiridan di mana setiap tahun dalam bulan
Rajab diadakan Khatmil Bukhari, iaitu khatam pengajian kitab “Jami` ash-Shohih”
tersebut. Setiap malam Jumaat pula diadakan majlis mawlid dengan pembacaan
kitab mawlid “Simthuth Durar” karya nenda beliau yang mulia al-Habib ‘Ali bin
Muhammad al-Habsyi. Manakala setiap malam Jumaat Legi diadakan satu majlis
taklim dan mawlid dalam skala besar dengan dihadiri ramai masyarakat awam dari
pelbagai tempat yang terkenal dengan Pengajian Legian, di mana mawlid
diperdengarkan dan tausyiah-tausyiah disampaikan kepada umat. Peringatan mawlid
tahunan di bulan Rabi`ul Awwal dan haul Imam Ali al-Habsyi disambut secara
besar-besaran yang dihadiri puluhan ribu umat dan dipenuhi berbagai acara ilmu
dan amal taqwa. Sesungguhnya majlis para habaib tidak pernah sunyi dari ilmu
dan tadzkirah yang membawa umat kepada ingatkan Allah, ingatkan Rasulullah dan
ingatkan akhirat, yang disampaikan dengan penuh ramah – tamah dan bukannya
marah-marah. Habib Anis terkenal bukan sahaja kerana ilmu dan amalnya, tetapi
juga kerana akhlaknya yang tinggi, lemah lembut dan mulia. Air mukanya jernih,
wajahnya berseri-seri dan sentiasa kelihatan ceria. Kebanyakan yang menghadiri
majlis-majlis beliau adalah kalangan massa yang dhoif, dan kepada mereka-mereka
ini Habib Anis memberikan perhatian yang khusus dan istimewa. Kemurahan hatinya
kepada golongan ini sukar ditandingi menjadikan beliau dihormati dan disegani
ramai. Sungguh tangan beliau sentiasa di atas dengan memberi, tidak sekali-kali
beliau jadikan tangannya di bawah meminta-minta. Inilah antara ketinggian akhlak
Habib Anis al-Habsyi rhm. Sungguh kemuliaannya bukanlah semata-mata faktor
keturunannya yang umpama bintang bergemerlapan, tapi juga kerana ilmunya,
taqwanya, waraknya dan akhlaknya yang mencontohi akhlak para leluhurnya
terdahulu. Para leluhurnya yang terkenal dengan ketinggian akhlak mereka
sehingga telah menawan hati segala rumpun Melayu rantau sini untuk memeluk
agama Islam yang mulia.
Sedih dan pilu rasa hati, seorang demi seorang ulama kita
kembali ke hadhrat Ilahi. Khuatir kita jika tiada pengganti mereka, yang
meneruskan usaha mereka untuk menyeru kepada Allah dan rasulNya. Bermohon kita
kepada Allah dengan sebenar-benar dan setulus-tulus permohonan, agar yang patah
tumbuh, yang hilang berganti. Kita sentiasa memerlukan bimbingan berkesinambungan
daripada para ulama dan daie yang mukhlisin lagi berakhlak mulia, agar
kejahilan dan keruntuhan akhlak tidak berleluasa. Hari ini selesailah
permakaman beliau di Kota Solo di kompleks makam Masjid ar-Riyadh di sisi
ayahandanya al-Habib Alwi bin Ali al-Habsyi. Kami ucapkan selamat jalan kepada
Habib yang dikasihi. Mudah-mudahan musibah ketidaksampaian kami menziarahinya
sebelum kewafatannya diberi ganjaran oleh Allah dengan kesudianNya
menghimpunkan kami besertanya di syurga penuh keni’matan di samping nendanya
yang mulia Junjungan Nabi s.a.w.
Selamat jalan, ya Habibna
Kuharap nanti di sana kita kan bisa kumpul semula
Di tempat lebih santai, lebih nyaman, lebih mulia
Berbanding dunia yang penuh pancaroba
Ya Habibna,
Pemergianmu menyayat hati setiap muhibbin merasa
Pemergianmu dalam suasana kami masih perlukan bapa
Yang nasihatnya menusuk sanubari dan masuk kepala
Tapi tiada siapa dapat menolak ketentuan Yang Maha Esa
Ya Habibna
Musibah ini kami terima dengan redha
Semoga musibah kami atas kehilanganmu diberi pahala
Diberi ganjaran apa yang kami damba
Berkumpul bersamamu di Jannatul Firdaus al-A’la
Bi jiwari an-Nabiyyil Mukhtar al- Musthofa
Ya Habibna,
Pemergianmu kami iringi doa
Agar kasih sayang Allah buatmu sepanjang masa
Dicurahkan persemayamanmu hujan rahmat tiap ketika
Ditinggikan darjat serta diberi sinar cahaya
Kesunyianmu dihilangkan dan kebajikanmu diganda
Bagi kami dan bagimu perlindungan Allah sentiasa
Diselubungi kedamaian penjagaanNya yang sempurna
Selamat jalan, ya Habibna
Damailah dikau di sana
Jangan lupakan kami para muhibbin yang masih di dunia
Doakan agar kami menuruti ajaran nendamu yang mulia
Biar kami mati membawa iman, ketaatan dan kasih cinta
Pada Allah, pada Rasul, pada sholihin, pada agama
Selamat jalan, ya Habibna
Kepergianmu kuiringkan doa:-
Tidak ada komentar:
Posting Komentar